بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين
, والصلاة والسلام على أشرف الانبياء والمرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين
. أما بعد
‘Seorang ibu adalah sekolah. Jika engkau persiapkan dia dengan baik maka sesungguhnya engkau telah mempersiapkan sebuah generasi yang unggul.’
Bait syair ini walaupun ringkas tapi membawa makna yang sangat mendalam. Untuk membentuk sebuah generasi yang unggul, maka golongan ibu itu perlu menjadi satu golongan yang hebat dan mantap bagi menjayakannya. Dan kita sedia maklum, bahawa seorang wanita yang bergelar ibu itu pastinya dimulai dengan seorang individu wanita. Maka, cita-cita kita tadi adalah mustahil untuk dicapai melainkan dengan usaha kita untuk mendidik golongan wanita, gadis dan para pemudi hari ini.
Ironinya dewasa kini, kita dapat melihat pelbagai masalah sosial kian membarah di dalam masyarakat dan negara kita. Apa yang lebih membimbangkan adalah keterlibatan golongan wanita dalam isu ini, adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat kita nafikan.
Sebagai individu muslim, kita perlu sedar bahawa setiap daripada kita mempunyai peranan masing-masing bagi mempersiapkan diri untuk menjadi seorang hamba Allah swt yang mampu untuk menjaga maruah diri, keluarga, agama dan negara.
Allah swt berfirman yang mafhumnya :
‘Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.’ (Ali Imran: 104)
Sehubungan dengan itu, pertubuhan bukan kerajaan (NG0) NISA’ kawasan Putatan berazam dan komited untuk mengajak golongan wanita bersama-sama kami. Aktiviti keagamaan seperti usrah, kelas pengajian Al-Quran, program riadah, kemasyarakatan dan sebagainya adalah wasilah kami untuk mendekati golongan ini dengan memanfaatkan masa yang ada dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat bukan sahaja untuk kebaikan di dunia, maka yang lebih penting untuk di akhirat kelak.
Kami sangat mengalu-alukan penyertaan anda untuk bersama kami bagi merealisasikan cita-cita murni ini. Semoga Allah swt memberkati niat baik kita dalam usaha untuk menjadi seorang muslimah yang lebih baik,InsyaAllah.
Wabillahi taufiq wal hidayah,
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh…
Ucapan Dari :
Azlinah Abdul Gani
(Ketua NISA' Putatan)


No comments:
Post a Comment